Kenyataan Media: Ke Arah Kepimpinan Melayu-Islam – Penggunaan Istilah “Allah”

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Islam adalah agama yang paling pesat kadar pertumbuhannya di seluruh dunia. Tetapi sekiranya kita perhatikan tindak-tanduk, lagak dan retorik pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku diri mereka sebagai pembela Islam, kita mendapat kesan bahawa agama Islam ini sudah sampai ke tahap yang seolah-olah akan mansuh dari bumi Allah, sehingga pengunaan istilah Allah (dan istilah-istilah keagamaan lain) oleh orang bukan Islam menjadi isu yang diapi-apikan oleh mereka ini seolah olah dunia akan kiamat dibuatnya.

Mengapa begini jadinya? Jawabnya mudah – itulah sahaja kuasa yang dapat di perolehi oleh mereka untuk dianggap “pahlawan” kepada bangsanya dengan memecah-belahkan masyarakat kita yang Tuhan jadikan secara semula jadi sebagai makhluk yang majmuk di bumi Allah.
Mereka mahu kita menganggap diri kita lebih tinggi dari manusia yang lain, bencikan yang lain supaya diri mereka disanjung sebagai pembela bangsa dan agama. Itu sahaja matlamat mereka yang dengan itu memberi mereka kuasa, pengaruh dan seterusnya jawatan dan wang ringgit untuk berkuasa ke atas diri kita.

Surah Al Hajj ayat 40, Allah berfirman:
“Orang-orang yang diusir daripada tempat-tempat tinggal mereka dengan tanpa patut, melainkan mereka berkata, “Pemelihara kami ialah Allah.” Sekiranya Allah tidak usir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian lain, tentu dirobohkan biara-biara, dan gereja-gereja, dan salawat (tempat-tempat sembahyang Yahudi), dan masjid-masjid, yang di dalamnya nama Allah disebut dengan banyak. Sungguh, Allah akan tolong orang yang menolong-Nya; sesungguhnya Allah Kuat, Perkasa.”

Jelas sekali Allah tidak membezakan bagaimana nama Tuhan disebut di mana mana dan oleh mana-mana agama yang lain. Itulah hakikat betapa peliknya Melayu-Islam di dalam pandangan umat Islam lain di seluruh dunia, sekiranya kita mahu berfikir. Kontroversi sebegini tidak wujud melainkan di dunia Melayu-Islam.

Pada pandangan saya, sudah tiba masanya umat Islam dan masyarakat Melayu menolak sama sekali “pemimpin-pemimpin” yang mempergunakan agama untuk membezakan masyarakat Melayu daripada masyarakat lain di Malaysia ini. Mereka ini tidak mahu masyarakat Melayu berfikir dengan sendiri. Adalah penting kepada penunggang-penunggang agama sebegini supaya orang Melayu hanya mengikut apa sahaja yang diperkatakan oleh mereka tanpa berfikir dengan waras dan kritikal. Saranan mereka adalah bahawa mereka sahajalah yang mempunyai ilmu agama untuk mentafsir dan memberi kata putus kepada orang Melayu dan orang Islam di negara ini. Cuba perhatikan, setiap kata putus mereka ini senantiasa membezakan masyarakat Melayu dari dunia sekeliling. Ditambah lagi sekiranya kita bercanggah dengan mereka maka adalah disyorkan kita dihukum seberat yang boleh.

Mereka ini menyifatkan diri sebagai penyelamat ummah dengan memaksa fahaman dan doktrin sempit ke atas umat Islam di negara ini. Kalau sikap dan pandangan golongan ini dibenarkan tersebar dengan lebih meluas maka Islam bakal berkubur di Malaysia.

Ini bukan satu fenomena baru di dalam sejarah tamadun manusia. Ketika zaman kegemilangan Islam di dunia, pengetahuan sekular dan pemikiran agama datang daripada pelbagai pelusuk dunia berkumpul dan berdebat secara kritikal berpusat di kota Baghdad. Orang Islam tiada konsep perantaraan antara Allah dan manusia biasa. Tetapi pada waktu yang sama dunia Eropah berada di zaman kemunduran dan kegelapan. Pemimpin agama mereka dari atas ke bawah memegang kunci pemikiran masyarakat dengan kefahaman agama hanya melalui pengetahuan bahasa Latin yang terhad kepada mereka dan tafsiran serta pemikiran adalah hak alim ulama mereka sahaja. Merekalah perantaraan antara manusia dengan tafsiran Tuhan. Setiap percanggahan akan di hukum seberat-beratnya.

Lihatlah sekarang beratus tahun selepas keadaan dua tamadun ini berubah. Apabila orang Islam tidak bercampur, tidak berfikiran kritikal dan tidak di memberi ruang kebebasan berfikir mengenai agama mereka sendiri, di mana hilangnya kejayaan umat Islam? Inilah tahap keadaan umat Islam, terutama Melayu-Islam pada zaman ini.

Dunia Islam pada keseluruhannya tidak mempunyai masaalah mengenai pengunaan kalimah Allah di Timur Tengah atau di mana-manapun oleh agama lain tetapi mengapa ia menjadi masaalah di Negara kita? Dunia Islam keseluruhannya sedang berusaha kembali untuk bersama masyarakat majmuk dunia, tetapi megapa di Malaysia suara-suara ekstremis makin lantang menghalang dan menjadikan perbezaan antara kaum dan agama satu keutamaan dalam hidup masyarakat? Sedangkan Islam adalah agama yang mengamalkan sifat kesederhanaan, 
mengapa pandangan beza-membeza, lebih berwas-was mengatasi sifat menerima dengan redha dan Allah yang lebih mengetahui tidak menjadi jalan yang diambil?

Islam adalah agama sejagat. Ia tidak boleh di warisi dan dipunyai oleh mana-mana kaum. Istilah dalam sesuatu bahasa yang digunakan oleh sesuatu agama yang bermula dengan kaum tersebut tidak bermaksud bahawa warisan bahasa sebelum lahir sesuatu agama itu menjadi monopoli penganut agama tersebut. Perkongsian istilah adalah perkongsian ketamadunan dan pengukuhan perpaduan antara manusia pelbagai budaya, bangsa dan agama.

Keputusan Mahkamah Tinggi dalam mengiktirafkan penggunaan istilah-istilah Allah, Baitullah, solat dalam kitab-kitab Kristian dalam Bahasa Melayu-Indonesia sudahpun dijadikan isu perkauman oleh golongan ekstremis di Malaysia. Istilah Allah telah wujud hampir 400 tahun di dalam kitab Injil Bahasa Melayu di bumi ini, di Sabah dan Sarawak terutama nya.

Islam tidak mengajar umat nya menjadi taksub mau pun zalim. Hak orang Sabah dan Sarawak dalam amalan agama mereka terjamin dalam perjanjian tiga negara yang menjadi konsep Malaysia termaktub di dalam MA63. Keputusan Mahkamah Tinggi telah dengan tersendirinya memperakui perjanjian ini dan  mendapati rampasan pita syarahan agama sebagai sesuatu yang tidak menghormati semangat dan fakta sejarah. Ini adalah suatu keputusan yang selaras dengan falsafah keIslaman sebagai agama sejagat yang adil dan saksama.

Malaysia adalah untuk semua. Allah adalah untuk semua di mana saja kita berada, bagaimana saja kita berfikir mengenai-Nya. Bukan untuk kita manusia menjadi kuasa keatas apa yang Allah telah wujudkan di antara kita.

Akhir kalam, sudah tiba masa nya kita berhenti menjadi mangsa penunggang-penunggang agama yang menakutkan kita akan azab akhirat, mengajar kita membenci sesama manusia terhadap perkara-perkara yang hanya Allah adalah penentunya di akhirat. Marilah kita menjadi penyatu kepada umat manusia di tanah majmuk Malaysia ini dengan berkat Allah subhanawata’alla.  

“Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.”  – Al Hujurat ayat 13.

Tawfik Tun Dr Ismail
MAJU ADVISOR
Gerak Independent

13 March 2021

PDF Download:
http://gerakindependent.com/documents/GI%20Press%20Statement%20Istilah%20Allah%2013032021_v2.pdf

Leave a Reply